Wednesday 13 February 2013

Memoirs of TAR (Bab 5 - Bab 6)


Bismillahirrahmaanirrahiim dan assalamualaikum wbt.

Tanpa berbasa basi, kita teruskan apa cerita dalam bab-bab seterusnya... jom!


BAB 5 : TIPU HELAH DALAM KEMPEN


PAS telah cuba meluaskan pengaruhnya dari Kelantan ke negeri Kedah dan Perak dengan mengambil bahagian dalam setiap pilihan raya kecil di negeri-negeri itu, tetapi mereka telah gagal. Saya diberitahu, hal-hal agama tidak begitu menolong parti itu di negeri-negeri pantai barat kerana orang di situ lebih luas pandangannya dan lebih menghormati hak-hak orang lain untuk memilih agama masing-masing. Mereka lebih progresif atau lebih maju dalam cara pemikiran berbanding pemandangan dan pemikiran orang-orang di negeri Kelantan itu. 

Dalam pilihan raya tahun 1969, PAS telah mengubah taktiknya dengan melancarkan kempen mencemarkan nama baik UMNO dengan mempermainkan sentimen bangsa sehebat-hebatnya supaya timbul rasa benci orang ramai terhadap UMNO. Ternyata cara seperti ini telah memberi kejayaan yang besar kepada mereka. Mereka menuduh UMNO pro-Cina dan menjual negara kepada orang Cina. Mereka telah menggunakan cara yang tajam dan halus dalam kempen anti-Cina yang dilancarkan di kawasan luar bandar dalam negeri-negeri sebelah utara pantai barat. Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang-orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama. Mereka juga menuduh bahawa saya telah memberi peluang itu kepada orang Cina.

Untuk menjadi bukti kepada dakwaan tersebut, mereka telah menyebarkan gambar-gambar En. Khir Johari, seorang Menteri Kabinet dan isterinya memakai pakaian orang Cina Mandarin. Gambar itu telah diambil di Hong Kong secara suka-suka untuk dihantar kepada kawan-kawannya sebagai ucapan Selamat Tahun Baru. Pakaian-pakaian ini ada disediakan di restoran untuk pelancong menggunakannya bagi mengambil gambar sebagai tanda ingatan lawatan mereka ke Hong Kong. 

En. Khir Johari ialah seorang yang suka berlawak. Beliau dan isterinya telah menggunakan gambar ini untuk kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang telah dikirimkan kepada kawan-kawan Cina mereka dalam bulan Februari yang lepas sebagai menunjukkan rasa muhibbah. Masing-masing yang menerimanya telah bergelak ketawa melihat gambar itu. PAS segera mengambil kesempatan menggunakan gambar itu sebagai satu senjata untuk kepentingan mereka. Gambar ini telah diedarkan dengan seluas-luasnya dalam kalangan orang Melayu sambil memburuk-burukkan En. Khir dan menuduh beliau telah menjadi orang Cina. Kasihan, tujuan En. Khir hendak berjenaka itu telah merugikan dirinya dan beliau telah kehilangan banyak undi dalam pilihan raya berkenaan.

Hal ini merupakan satu contoh yang menunjukkan sejauh mana pihak PAS sanggup melakukan perbuatan kotor dan tipu helah untuk mencari kesenangan dalam politik. Perbuatan-perbuatan mereka sangatlah khianat dan liar. Perbuatan ini merupakan satu penipuan yang paling buruk yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.

Misalnya, PAS telah menyebarkan fitnah dengan mengatakan bahawa saya seorang Siam, walhal mereka tahu ayah saya ialah Almarhum Sultan Kedah. Mereka juga menuduh saya beragama Buddha, walhal mereka tahu banyak perkara kebajikan yang telah saya buat untuk agama Islam sejak merdeka. Mereka telah menyerang peribadi pemimpin-pemimpin UMNO secara kotor yang tidak mungkin sesiapapun tergamak melakukannya. Mereka tahu apa yang mereka katakan mengenai  pemimpin-pemimpin UMNO (termasuk saya sendiri) adalah tidak benar. Namun, mereka pergi ke kampung-kampung untuk melancarkan kempen yang bohong dan tidak menghiraukan apa jua akibatnya ataupun apa yang mereka lakukan itu boleh menyemarakkan api permusuhan antara kaum. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi, asalkan mereka dapat memenangi kerusi dengan apa jua cara sekalipun.

Saya sendiri telah cuba mendapatkan gambar yang telah ditunjukkan oleh PAS kepada orang ramai di kawasan pilihan raya saya. Gambar itu kononnya menunjukkan saya menggunakan chopstick dalam majlis makan Cina. Dengan secara tipu, mereka telah meletakkan satu gambar lain ke atas gambar tersebut yang menunjukkan seekor anak babi terhidang di tengah-tengah meja di majlis itu. Saya berani bersumpah, bahawa seumur hidup, saya tidak pernah menghadiri majlis jamuan makan Cina yang menghidangkan daging babi ataupun apa jua makanan lain yang haram kepada orang Islam. Kawan-kawan Cina saya sentiasa menjaga supaya kejadian yang seperti itu tidak berlaku kerana mereka sendiri tahu apa yang haram dimakan oleh orang Islam.

Tuduhan yang mengatakan saya bukan seorang Islam merupakan fitnah yang sangat kotor kerana mereka sendiri tahu bahawa saya telah pergi ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji. Mereka juga tahu saya anak kepada seorang bapa yang dikenali seumur hidupnya sebagai seorang yang warak. Saya percaya, orang yang akan membaca kandungan buku ini akan terperanjat dengan perbuatan sebuah parti politik seperti PAS yang sanggup meletakkan dirinya begitu rendah hanya untuk mencari kemenangan.

Sekalipun saya seorang yang kuat berpegang kepada ajaran-ajaran Islam, tetapi sebagai seorang perdana menteri, saya telah menerima banyak jemputan ke majlis sosial, malah telah menikmati makanan eropah, makanan cina atau makanan india. Saya telah merasmikan pembukaan tempat-tempat ibadat bagi orang yang beragama lain dan saya juga telah mengarahkna supaya wang diberi untuk membina tempat ibadat bagi agama-agama lain di Malaysia.

Wang yang diperoleh datangnya daripada masyarakat pelbagai agama. Maka, wajarlah diberikan juga wang untuk tempat-tempat ibadat mereka. Saya masih ingat lagi bagaimana orang daripada pelbagai agama telah menghulurkan derma mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit tatkala saya melancarkan derma untuk membina Masjid Negara.

Kesemua orang dalam negara ini telah memberi sumbangan mereka kepada kekayaan negara. Dengan wang ini, dapatlah kita membuat pelbagai perkara yang memberi manfaat kepada orang Islam seperti pembinaan masjid, surau dan sekolah agama dan begitu juga untuk mengadakan perayaan-perayaan agama dari semasa ke semasa. Semua perkara ini dilakukan untuk kepentingan agama Islam yang menjadi agama rasmi kita.

Orang Melayu tidak pernah menimbulkan tentangan terhadap apa yang telah dibuat dan sedang diusahakan oleh kerajaan untuk agama Islam. Saya berani menyatakan dengan tegas bahawa kerajaan Perikatan telah membuat lebih banyak kebajikan untuk Islam daripada yang boleh dibuat oleh PAS, sekalipun dalam negeri mereka sendiri.

Saya telah memberi beberapa contoh tentang kelakuan khianat yang dilakukan oleh PAS, tetapi masih banyak dakyah bohong dan fitnah yang terlampau kebudak-budakan dan terlalu menyentuh peribadi untuk saya catatkan dalam buku ini. Sekalipun saya menulisnya, tiada siapa yang akan percaya.

Orang yang mempunyai fikiran waras tidak akan dapat memahami tindakan PAS dalam pilihan raya itu. Sesiapa yang sayang kepada negara ini tentu tidak akan bersetuju dengan kelakuan mereka. Dalam pilihan raya itu, satu perkara ganjil tetapi benar telah dilakukan oleh PAS. Jika benar sebagaimana yang dikatakan  PAS bahawa mereka anti-Cina, kenapa pula mereka bersubahat dengan DAP, Gerakan dan PPP?

Tujuan PAS nyatalah hanya untuk memecahkan undi-undi orang Melayu supaya calon-calon Perikatan yang bertanding dalam beberapa kawasan yang tertentu tidak akan menang dan pakatan mereka yang jahat ini telah berjaya. Mereka meletakkan calon mereka dalam kawasan di mana pengundi-pengundi Melayu tidak mencukupi untuk menjayakan seseorang calon PAS. Di sesetengah kawasan pula, mereka mungkin kehilangan wang pertaruhan sekalipun mereka berjaya mendapatkan kesemua undi Melayu di kawasan itu. Dengan perbuatan mereka berpakat dengan parti-parti pembangkang yang anti-Melayu, PAS telah membuktikan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mendapatkan keuntungan dalam politik.

Jika begitulah sikap mereka, lebih baik mereka menolong MCA, iaitu sebuah parti yang sentiasa mempunyai pandangan keMalaysiaan dan telah membuktikan taat setianya kepada negara ini. Namun sebaliknya, di mana-mana sahaja MCA bertanding melawan calon daripada parti yang anti-Melayu, PAS akan turut masuk ke kawasan itu. Ini untuk menghalang orang Melayu daripada mengundi calon MCA berkenaan ataupun sekurang-kurangnya memecahkan undi sehingga calon Perikatan itu kalah dalam pertandingan tiga penjuru. Sama seperti yang mereka lakukan di kawasan-kawasan di mana calon-calon UMNO bertanding.

Suka saya menceritakan dua kejadian yang telah berlaku dalam pilihan raya baru-baru ini yang membuktikan mereka telah menolong parti-parti anti-Melayu. Dalam kawasan Setapak di negeri Selangor, seorang yang saya tidak suka sebutkan namanya di sini telah kelihatan memberi wang kepada seorang ahli PAS. Orang ini ialah ahli DAP. Dalam kawasan Sepang juga di negeri Selangor, calon-calon DAP dan PAS telah melancarkan kerja-kerja mereka dari sebuah pejabat dan pekerja DAP yang terdiri daripada seorang Cina telah menampalkan poster untuk calon PAS itu. Bukti ini cukup untuk menafikan dakwaan parti itu, bahawa mereka sebuah parti Melayu yang berasaskan Islam. Mereka sanggup menghina agama untuk kepentingan politik dan wang.

Mereka berjanji akan menubuhkan negara atau kerajaan Islam jika mereka memegang kuasa, tetapi tidak pula menerangkan rupa dan bentuk kerajaan yang mereka angan-angankan itu. Kita dapat meragui samada mereka akan memenuhi janji mereka ini jika berkuasa kelak.

PAS sedar bahawa mereka tidak ada harapan untuk mengambil kuasa negara ini. Dengan kesedaran seperti itu, maka mereka boleh lakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membuat janji-janji palsu untuk menyedapkan telinga orang Melayu yang jahil tentang hal ehwal dunia politik. Tentu banyak orang Melayu yang tertarik dengan janji-janji hendak menubuhkan kerajaan yang tidak bercampur dengan kaum lain. Orang Melayu tentu sangat tertarik dengan kemungkinan negara ini dikendalikan oleh orang Melayu sahaja kerana inilah negara tanah tumpah darah mereka.

Dalam masa berkurun lamanya, dari satu keturunan ke satu keturunan, Malaysia telah diperintah oleh kuasa-kuasa asing kerana negara ini telah diperintah dari satu zaman ke satu zaman oleh orang Portugis, Belanda, Siam, British dan Jepun. Oleh itu, kemungkinan negara ini diperintah oleh orang Cina tentulah sangat dibenci oleh orang Melayu. Ini kerana persetujuan telah dicapai semasa merdeka dahulu bahawa Malaysia mestilah mempunyai keperibadian dan corak kebangsaan yang berasaskan Melayu. Beberapa hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan. Menurut apa yang dikatakan oleh PAS, semua hak ini akan hilang sekiranya Perikatan menang dalam pilihan raya itu.

Sementara itu, parti pembangkang yang lain bertalu-talu menggembar-gemburkan konsep "Malaysian Malaysia" dan ini mengurangkan sokongan orang ramai terhadap MCA dan MIC serta menambahkan lagi kecurigaan orang Melayu. Oleh itu, konsep Malaysia untuk orang Melayu sahaja yang ditonjolkan oleh PAS lebih mudah mendapat sokongan daripada orang Melayu. Sebagaimana kebanyakan orang Cina menyokong konsep "Malaysian Malaysia" yang dianjurkan oleh En. Lee Kuan Yew, maka begitu jugalah orang Melayu menyokong cita-cita ini. Dengan cara yang seperti ini, kedua-dua pendapat cauvinis yang tersebut itu telah menolong antara satu sama lain.

Langkah PAS menolong atau menggunakan parti pembangkang yang pro-Cina dan parti-parti lain yang diketahui anti-Melayu, mengemukakan pendapat yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang melampau ini sudah tentu ada sebab yang tertentu. Tindakan mereka sangat berbahaya seperti bom atau torpedo yang telah ditentukan masa letupannya.

Sebuah akhbar Hong Kong, The Star telah melaporkan pada 17 Jun bahawa Bank of China di Singapura telah tidak dapat mengimbangkan kira-kira kewangannya kerana beberapa jumlah wang yang besar telah dikeluarkan dengan tujuan "untuk membiayai gerakan-gerakan kekacauan di Singapura dan Malaysia". Terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa wang itu telah diberi kepada beberapa pihak tertentu di Kelantan untuk membiayai perbelanjaan kempen PAS. Maka terang dan jelaslah bahawa orang Melayu yang menyokong PAS tidak terdaya hendak mengeluarkan berjuta-juta ringggit untuk pilihan raya itu. Wang itu tentunya telah datang daripada satu punca yang tertentu dan saya suka menegaskan lagi bahawa punca itu tidak hanya dketahui oleh parti PAS sahaja.

Sekiranya PAS menerima bantuan kewangan daripada komunis, bererti pemimpin-pemimpin parti itu telah memperdaya dan mempermainkan orang mereka sendiri. Kebanyakan daripada soal-soal agama yang dibangkitkan oleh PAS itu tidak selaras dengan fahaman Islam dalam zaman tamadun dan bertentangan pula dengan keadaan yang terdapat di sekitar Malaysia pada hari ini. PAS telah mengambl kesempatan daripada kejahilan orang miskin untuk menjalankan taktik tipu helahnya itu. Namun, dosa mereka yang lebih besar adalah ke atas orang mereka sendiri dan juga ke atas agama Islam. Yang menjadi tunjang politik mereka ialah membiarkan diri mereka digunakan oleh kuasa-kuasa lain untuk memecah-belahkan perpaduan orang Melayu.



BAB 6 : SIDANG ISLAM YANG BERSEJARAH


Salah satu perkara yang sangat dikesali dalam kempen pilihan raya 1969 ialah sewaktu PAS mengecam kerajaan Perikatan terutamanya UMNO dalam soal-soal agama Islam. Namun pada ketika itu juga, Malaysia sedang mencipta satu sejarah baru untuk dunia Islam. Sungguhpun Malaysia bukanlah sebuah negara yang bercorak Islam, tetapi Islam adalah agama rasminya.

Tidak kurang daripada 23 buah negara Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan beragama Islam telah bersidang di Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan dalam pelbagai masalah yang dimusykilkan oleh orang Islam di merata dunia. Inilah julung kalinya negara-negara Islam telah berkumpul di satu tempat  untuk membincangkan tentang agama Islam dan hubungannya dengan dunia moden. Malah, Malaysia patut mendapat pujian penuh atas kejayaannya menganjurkan persidangan yang bersejarah itu.

Berlakunya persidangan ini dalam masa kempen pilihan raya adalah secara kebetulan kerana kerja-kerja merancang dan membuat perhubungan untuk membuat persidangan itu telah dijalankan dalam beberapa tahun yang lepas. Sebenarnya saya telah melahirkan cita-cita ini di Masjid Woking, London dalama tahun 1961, sewaktu saya mengeluarkan pendapat untuk mengadakan satu badan negara-negara Islam yang dipanggil "Commonwealth Islam".

Namun, sebelum saya melanjutkan penerangan mengenai persidangan ini, eloklah saya menegaskan terlebih dahulu perkara-perkara yang telah dibuat oleh Malaysia untuk agama Islam kerana PAS telah mereka pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Saya sentiasa berasa bangga kerana kesemua kejayaan yang telah dicapai untuk kemajuan agama Islam di negara ini adalah di luar dugaan kita.

Pertama sekali, kita telah menggantikan kesemua masjid lama dan tempat-tempat ibadat seperti surau dengan bangunan baru menggunakan perbelanjaan wang kerajaan yang besar. Setiap sebuah bangunan itu direka mengikut kesesuaian dengan keadaan dan keinginanan orang di tempat itu sendiri.

Kenapa kerajaan memberi perhatian yang sebegitu berat terhadap pembinaan masjid-masjid? Pertama, adalah untuk menawan hati semua orang di negara ini yang berpegang teguh kepada agama Islam dan meletakkannya pada kedudukan yang tinggi dan mulia, sesuai dengan tarafnya sebagai agama rasmi negara ini menurut Perlembagaan.

Tuan-tuan akan dapati bahawa masjid-masjid yang dibina di kawasan baru terletak di atas tapak yang elok, sepadan dengan kedudukan dan martabat agama rasmi negara. Orang ramai berkumpul di surau-surau yang beratus banyaknya untuk bersembahyang, berbual-bual dan bergaul dengan bebas antara satu sama lain pada bila-bila masa, samada di majlis bercorak agama ataupun sosial. Perbelanjaan yang secukupnya telah diberi dan segala keperluan pembinaan telah diadakan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna. Misalnya, jalan raya yang menghala masuk dan bekalan air paip telah diadakan di semua masjid dan surau baru, walhal pada zaman dahulu, orang Islam di negara ini bergantung pada perigi-perigi yang dikorek di tempat-tempat yang tidak menurut kehendak kesihatan ataupun bergantung kepada air hujan untuk kolah-kolah tempat air sembahyang. Banyak masjid yang telah buruk dan bangunannya telah rosak tidak dapat dibaiki kerana ketiadaan wang. Kejadian ini berlaku kerana pada umumnya darjah ekonomi orang Melayu adalah rendah.

Persoalan yang kedua ialah sekolah-sekolah agama. Kerajaan telah banyak membina sekolah agama dengan perbelanjaan yang besar dan merancangkannya mengikut kehendak rakyat. Guru-guru telah dilatih khas untuk mengajar di sekolah-sekolah agama itu. Semua pelajar di sekolah itu disesuaikan dengan sistem pelajaran yang telah diluluskan oleh kerajaan. Selain daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran, penuntutnya bukan sahaja diajar bahasa kebangsaan, bahkan juga bahasa Inggeris. Sebenarnya, kerajaan menyediakan apa jua yang diperlukan oleh sekolah-sekolah agama itu seperti padang permainan dan kemudahan-keudahan yang lain.

Usaha-usaha besar untuk membina bangunan tersebut berjalan di segenap pelosok Malaya sebelum tertubuhnya Malaysia dan dasar ini terus diamalkan hingga sekarang. Dan meskipun kerajaan Kelantan dikuasai PAS, hal ini tidak menghalang kerajaan Perikatan daripada menghulurkan bantuan kewangan untuk membina bangunan agama, sekalipun dalam negeri itu. Terbayangkah dalam fikiran sesiapa jua bahawa kerajaan PAS Kelantan akan menghulurkan bantuan walau satu sen pun untuk pembinaan sebuah masjid atau surau di luar negeri Kelantan? Sebenarnya dalam negeri mereka sendiri pun mereka tidak berbuat begitu. Mereka bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Perikatan untuk membuat pembangunan dan kemajuan bagi kepentingan  agama, tetapi mereka pula yang dapat nama.

Dalam bulan puasa, kerajaan pusat menggalakkan masjid-masjid memberi jamuan kepada orang ramai dan mengadakan pelbagai majlis supaya berkurangnya kepenatan berpuasa. Ia juga sebagai menunjukkan keistimewaan bulan Ramadhan sebagai bulan umat Islam dan untuk melebihkan amal ibadat yang khusus kepada Tuhan. Pertandingan tilawah al-Quran dianjurkan dengan memberi hadiah kepada pemenang. Pelbagai perkara lain dibuat untuk menyambut bulan yang mulia itu supaya mereka yang berpuasa merasakan dirinya hampir kepada Allah SWT dan meletakkan mereka ke tempat yang lebih mulia daripada orang yang tidak dapat menahan nafsu mereka dengan kesenangan dunia. Orang Islam yang ada di seluruh negara ini telah dibantu oleh kerajaan untuk menyambut bulan yang berkat ini dengan sepatutnya.

Malaysialah yang memulakan pertandingan tilawah al-Quran sejak tahun 1960. Pertandingan ini diadakan setiap tahun di peringkat negeri untuk memilih johan-johan mereka bagi memasuki pertandingan peringkat persekutuan untuk merebut kejohanan kebangsaan. Selain itu, negara-negara luar turut dijemput ujntuk mengambil bahagian dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dan hadiah-hadiah yang bermutu diberi kepada mereka. Sejak pertandingan tilawah al-Quran diadakan, Malaysia telah menerima sanjungan yang besar dan dipandang tinggi oleh dunia Islam. Ini tidak pernah berlaku kepada negara-negara Islam lain kecuali Arab Saudi, di mana terletaknya kota suci Makkah dan Madinah.

Pada zaman atom ini, pada waktu roket-roket menerawang di angkasa lepas, dan pada zaman penerbangan lebih laju daripada suara, Malaysia telah menjadi masyhur di seluruh dunia Islam sebagai sebuah negara terkemuka yang memberi nafas baru kepada agama Islam dalam dunia yang bertamadun ini. Dalam zaman ini juga, manusia telah menunjukkkan tanda-tanda kelemahan, hilang iman mereka kepada Allah SWT dan kepercayaaan kepada sesama manusia, sambil mencari idea-idea baru untuk ditakluki. Bagi kita sebagai orang Islam, kita berpegang teguh kepada agama untuk menguatkan iman kita. Dan Malaysia telah memberi pimpinan ini kepada dunia Islam semasa kerajaannya dipegang parti Perikatan.

Dalam negara Asia yang lain, pimpinan politik telah menyedari bahawa kemajuan dan pembangunan negara mereka telah terjejas apabila ahli-ahli agama mengganggu perjalanan politik negara, namun kesedaran itu telah terlambat sehingga merugikan negara mereka sendiri. Seorang perdana menteri telah hilang jiwanya dan negaranya telah mundur akibat gangguan agama dalam politik. Sesungguhnya keadaan yang seperti ini berlaku pada zaman dahulu kala, tetapi dalam dunia tamadun pada hari ini, kejadian yang seperti itu tidak lagi berlaku di negara-negara Eropah yang progresif. Sebenarnya di kebanyakan negara Islam, agama Islam diletakkan di tempat yang sewajarnya untuk dijadikan makanan rohani manakala politik pula untuk kemajuan negara. Sebagaimana yang pernah dikatakan, "politik ialah satu ilmu yang digunakan pada waktu-waktu yang diperlukan".  **(I disagree on this because ISLAM is the only way of life. Islam merangkumi segalanya dari sekecil-kecil isu sehingga sebesar-besar isu. Namun demikian, untuk menjadikan Islam sebagai sebuah tunjang politik, kita memerlukan seseorang yang benar-benar hebat, arif dan tidak hadap pada harta, tidak hadap pada kuasa, tidak korup dan diperguna, tapi hanya mengharap pada keredhaan Allah SWT. Susah nak pilih dan cari pemimpin macam ni kan?).

Kejayaan paling tinggi yang dicapai oleh Malaysia dalam menjalankan dasar-dasarnya yang luas untuk agama Islam ialah Persidangan Negara-Negara Islam yang telah diadakan dalam bulan April 1969 di Kuala Lumpur. Dalam persidangan itu, pemmpin-pemimpin Islam yang terkemuka dari seluruh dunia telah berhimpun untuk membincangkan masalah-masalah agama yang dihadapi bersama oleh seluruh umat Islam seperti waktu sembahyang di sesetengah tempat yang tidak ada matahari, ataupun apakan hukum Islam atas pemindahan anggota (organ) orang Islam kepada orang bukan Islam untuk kepentingan sains dan teknologi.

Persidangan ini merupakan perkara terbesar dan satu peristiwa yang sangat menggembirakan. Inilah kali pertama begitu banyak negara Islam, iaitu 23 buah semuanya telah datang sebagai wakil kerajaan masing-masing dengan perasaan muhibbah dan persaudaraan untuk membincangkan masalah yang dihadapi bersama oleh negara-negara Islam, samada dalam lapangan politik ataupun ekonomi.

Pada masa yang lepas, kebanyakan negara Islam telah berpecah ataupun tidak mengambil hirau antara satu sama lain. Malaysialah negara Islam yang mula-mula sekali berjaya mengadakan satu mesyuarat di peringkat kerajaan yang boleh menimbulkan rasa kecenderungan dalam kalangan pemimpin Islam, dengan harapan agar perjumpaan di Malaysia ini akan merapatkan ikatan persaudaraan Islam, dalam kalangan negara-negara Islam.

Saya suka mengulangi bahawa persidangan yang penting seperti itu sangatlah bersejarah. Malangnya, ada pihak yang tidak menyedari tentang makna peristiwa bersejarah itu. Pada saya, nilai persidangan negara-negara Islam ini hampir sama dengan kejayaaan mencapai kemerdekaaan Malaya. Kemerdekaan memberi taraf kepada manusia yang telah hidup berkurun-kurun lamanya sebagai hamba abdi. Persidangan ini menarik pandangan dunia akan perasaan-perasaan sama yang terdapat dalam kalangan orang Islam di mana-mana jua di atas dunia ini, di atas keinginan mereka untuk bermuafakat dan demi faedah dan kemajuan agama yang mereka sama-sama anuti.



Next : BAB 7 - Upacara Pengkebumian "Pahlawan" Merah


To be continued.. 



MY ONE CENT'S THOUGHT : Hmm.. dari dulu sampai la sekarang, siapa buat fitnah paling kotor, siapa paling terror putar belit, dialah yang menang.. tak kira puak mana pun.. Bermati-matian mempertahankan kuasa dan harta yang tak boleh dibawa mati. Banyak manapun kebaikan dan kemajuan yang telah dicapai, buruk juga yang dicari, buruk juga yang diselongkar. Untuk diri saya sendiri, seboleh-bolehnya saya akan menjauhkan diri daripada membaca blog-blog berunsur politik yang isinya mak ooooi.... komennya penuh dengan sumpah seranah dan cela mencela belaka. Nak mudah dapat darah tinggi, baca ajelah komen-komen manusia yang kononnya terpelajar di blog-blog yang dimaksudkan..

Dalam kita ingin menyedarkan bahawa MELAYU itu kuat bila bersatu, visi itu selamanya akan sukar untuk dicapai selagi perpecahan dilihat sebagai perkara yang lebih mengujakan. So, siapa yang anda nak pangkah di PRU13 nanti? Kalau saya? Di pihak manapun saya, kalau letak KAFIR, memang tak lah... Maaf ya.. Sudah terang lagi bersuluh, semanis manapun senyuman, tingkah dan laku di hadapan kita, jauh di sudut hati, mereka tetap memusuhi Islam (kecuali jika diberi hidayah oleh Allah SWT).

Kalau kedua-dua calonnya Islam? Saya akan tengok dulu kredibiliti mereka, then baru pilih. Kalau dah pilih tapi dia tak tunaikan tanggungjawabnya, dia yang akan menjawab di court akhirat. Hehe... kantoi.... undi saya dah tak rahsia lagi.. dan maaf juga, undi saya tidak boleh dijualbeli... Siapa menang, siapa kalah, saya tetap begini. Maklumlah, tidak berkepentingan. Menteri bukan, kontraktor pun bukan. Saya hanyalah seorang ibu, ibu separuh masak.



Wassalam..




Wednesday 23 January 2013

Memoirs of TAR (Bab 3 - Bab 4)


Assalamualaikum wbt. Bismillaahirrohmaanirrohiim.


Lamanya saya buat sidang pembaca tertunggu-tunggu post baru. Maaf sesangat. Sebab pertama, konon-konon sibuk sangat 'adapt' masa menguruskan persekolahan anak. Sekarang dah lapang, macam lipas kudung saya taip (nampak beno nipunya, sebab saya taip laju sikit daripada siput.. hehe). Tapi nak selit sikit pendapat dari pemerhatian saya. Apa yang saya nampak ialah senario politik di masa TAR ni macam sebijik apa yang sedang berlaku sekarang (propaganda dan agendanya). Cumanya sekarang, segala-galanya lebih advance dan merangkumi lebih banyak cabang. Kalau anda tak percaya, cuba baca sambil perhalusi... Tajuk bab 3 pulak macam kena dengan suasana panas bahang pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi.

Yang keduanya, saya nak mengaku sesuatu.. Sebenarnya saya dah lama tak update sebab buku yang saya nak share dengan anda ni, hilang tah ke mana. Actually saya suka bawa buku keluar masuk kereta untuk di baca, tah macamana buku ni boleh MIA (missing in action). Cari dalam kereta tak ada, cari satu rumah pun tak ada. Ikutkan kalau dah tak jumpa, saya niat nak beli yang baru. Takkan nak biar story TAR tergantung macam buah tak gugur pulak kan. Tapi entah macamana, last-last jumpa buku ni kat tempat yang dah 10 kali saya belek dan cari.  Benar-benar buku ni nak menduga saya. Dia nak suruh saya berehat lama sikit agaknya ya.. :P

Buku dah ada dalam tangan, dengan suka hatinya, baru la boleh sambung semula. So, tanpa membuang masa, saya teruskan sahaja ke bab seterusnya. Jom bacaaaaaa... 



BAB 3 : PILIHAN RAYA UMUM

Pada awal tahun 1969, saya sibuk dengan persiapan Persidangan Perdana Menteri Komanwel dalam bulan Januari. Selepas pulang dari persidangan, iaitu pada 20 Mac, kerajaan mengisytiharkan pilihan raya akan diadakan pada 10 Mei dan hari penamaan calon telah ditetapkan pada hari Sabtu, 5 April.

Parti-parti politik mula melipat-gandakan kempen walaupun sebelum ini telah dijalankan secara rahsia. Melihat pada perkembangan pada masa itu, pilihan raya tersebut sungguh hebat berbanding sebelumnya. Gerakan-gerakan parti politik bertambah hebat dijalankan dan apabila hari penamaan calon hampir tiba, timbul pelbagai tekaan terhadap pilihan calon. Selain itu, parti-parti lawan sekali lagi telah bergabung untuk menentang Parti Perikatan. Namun usaha mereka gagal. Tetapi persetujuan telah dicapai antara beberapa parti untuk tidak bertanding antara satu sama lain.

Jelaslah di sini bahawa ugutan parti Buruh untuk memulau pilhan raya kali ini benar-benar berlaku dengan sokongan pihak komunis di belakangnya. Pada hari penamaan calon, polis telah menjumpai 55 bendera komunis di Perak dan berlaku tunjuk perasaan secara mengejut di Kuala Lumpur. Pada keesokan harinya, iaitu 6 April, sebuah skuter terbakar dijumpai di Ampang dan 9 hari kemudian, iaitu 15 April, di Cheras pula sebuah kereta peronda polis telah dibaling dengan batu. Kedua-dua kejadian ini berlaku di pinggir bandar Kuala Lumpur.

Pada hari penamaan calon, semua parti seolah-olah bersetuju bagi menandakan bermulanya pergolakan antara mereka. Kempen-kempen sebelum ini diperhebatkan lagi.

Hanya sebuah parti sahaja yang bertanding untuk semua kerusi iaitu Parti Perikatan yang memerintah. Parti ini terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).

5 buah parti telah menentang Perikatan. Parti-parti itu ialah parti-parti yang telah bertanding dalam pilihan raya Parlimen :

1. Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Parti Islam yang memerintah di Kelantan, mempunyai 9 orang wakil dalam Parlimen.
2. Parti Gerakan, sebuah parti baru yang dipimpin oleh Syed Hussain Al-Attas sebagai presiden.
3. Parti Tindakan Demokrat (DAP), sebuah cawangan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.
4. Parti Progresif Rakyat (PPP).
5. Sebuah parti baru di Seremban yang dikenali dengan nama Pertubuhan Cina Malaysia Bersatu (UMCO), dengan En. Chin See Yin sebagai presiden. 

Selain itu, parti Rakyat merupakan sebuah pertubuhan berhaluan kiri yang dipengerusikan oleh En. Kassim Ahmad dan Syed Hussein Ali sebagai setiausaha agung, telah meletakkan calonnya dalam pilihan raya Majlis Undangan 11 buah negeri. Beberapa orang calon bebas telah bertanding di peringkat parlimen dan negeri. Semua pilihan raya di Malaysia Barat telah ditetapkan pada 10 Mei dan di Malaysia Timur pula beberapa hari telah ditetapkan sehingga hujung bulan Jun.

Kempen diadakan selama 7 minggu untuk rakyat menentukan pilihan mereka pada hari membuang undi iaitu pada 10 Mei. Pilihan raya yang lepas berjalan dengan harmoni berbanding pilihan raya 1969, di mana berlaku kecaman, perbuatan tidak sopan dan perkataan yang mengguris perasaan.

Sejak permulaan kempen, PAS telah menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu di semua negeri selain Kelantan, kerana mereka telah berkuasa di negeri tersebut. Bagi parti DAP, Gerakan dan PPP pula, mereka mengapi-apikan perasaan dan sentimen orang-orang Cina dengan mengatakan mereka akan merampas hak orang Melayu sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan dan menekankan bahawa mereka akan mengamalkan dasar berbilang bahasa di Malaysia jika mereka menang di dalam pilihan raya itu. Keempat-empat parti ini telah mengeluarkan isu-isu sensitif dan menyentuh perasaan kedua-dua kaum terbesar di Malaysia.

Sejak pilihan raya 1964, parti pembangkang telah melancarkan dakyah dan cara halus untuk mendapatkan beberapa buah kerusi dalam pilihan raya akan datang. Namun, cara mereka berkempen telah terkeluar daripada batas kesopanan. Perbuatan ini telah menyebabkan pergeseran antara dua kaum tidak dapat dielakkan. Lantas, komunis mengambil kesempatan dalam suasana yang keruh ini.

Ancaman komunis telah bergerak secara berselindung dalam mana-mana parti dan dilakukan dengan apa jua cara untuk mencapai tujuan mereka. Keadaan ini sangat berbahaya kerana menggunakan dakyah-dakyah yang baru bagi mendapatkan sokongan orang-orang Cina, terutama sekali yang enggan menyifatkan Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka menanamkan perasaan perkauman dalam hati dan fikiran orang Cina untuk ditarik masuk ke dalam gerakan komunis.

Pada masa dahulu, ideologi dan cara mereka tidak memberi kesan kerana masyarakat telah mendapat kebahagiaan hidup dan memiliki apa yang perlu untuk kehidupan. Mereka sendiri telah melihat dan menanggung keperitan dan kepahitan hidup dalam tempoh 12 tahun komunis mengganas di negara ini dan mereka tidak akan melupakan pengalaman pahit itu seumur hidup mereka. Oleh itu, taktik terbaru mereka tidak akan memberi kesan ke atas golongan yang telah mengalami kehidupan semasa Darurat.

Kehidupan rakyat berjalan seperti biasa, orang muda menjadi tua dan kanak-kanak menjadi dewasa. Golongan terbesar ialah belia dalam lingkungan belasa tahun dan dua puluhan. Kanak-kanak yang masih kecil ketika Darurat mestilah tidak dapat mengingati kesusahan dan ketakutan kepada ancaman keselamatan serta nyawa mereka yang sentiasa terancam.

Parti komunis menghalakan taktik barunya kepada pemuda-pemudi ini kerana pada masa Darurat dahulu mereka belum cukup umur dan memahami akan perbuatan komunis itu. Sekarang mereka telah dewasa dan boleh mengundi dalam pilihan raya. Komunis telah mempengaruhi dan menyesatkan fikiran belia yang belum boleh mengundi dengan harapan gerakan yang dijalankan oleh belia itu nanti akan menimbulkan kesan yang boleh menanamkan rasa gelisah dan hilang kepercayaan dalam kalangan ibu bapa.

Belia yang mendapat kepercayaan dan perhatian daripada komunis ialah mereka yang mempunyai rasa kecinaan yang menebal dalam diri. Kebanyakan mereka menumpahkan taat setia mereka terhadap negara China. Golongan belia ini terdapat dalam parti pembangkang terutama sekali Parti Buruh yang terang-terangan menggunakan mereka.

Belia ini tidak boleh dikawal dan dihalang daripada menyertai parti komunis. Mereka menyertai komunis dengan fikiran dan fahaman, walaupun tidak dengan tubuh badan mereka sebagai anggota parti. Ibu bapa tidak dapat menghalang mereka dan ini menyebabkan hubungan mereka dengan keluarga menjadi renggang dan fikiran mereka hanyut. Mereka menjadi sesat dan tidak dapat mendengar dan melihat secara bijak apa yang ada di sekeliling mereka kecuali pujukan komunis.

Segolongan lagi belia Cina ialah golongan yang bercita-cita tinggi serta berlagak pandai dan bijak bercakap, menggelarkan diri mereka golongan terpelajar dan lulusan universiti, malah sekarang boleh mengundi. Pemuda-pemudi ini enggan mengakui perimbangan kuasa antara golongan politik dan enokomi, iaitu hakikat bahawa ia telah dipersetujui oleh semua pihak dan ditentukan secara adil di dalam Perlembagaan.

Golongan belia ini tepat seperti yang dimaksudkan oleh Robert Louis Stevenson dalam tulisannya yang berbunyi "MUNGKIN POLITIK ADALAH SATU-SATUNYA PEKERJAAN YANG DIANGGAP TIDAK MEMERLUKAN SEBARANG PERSIAPAN ATAU PELAJARAN".

Mereka bercita-cita hendak mengambil bahagian dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan politik, dengan harapan akhirnya mereka akan menjadi pemimpin utama bagi orang Cina dalam dua sektor iaitu, politik dan ekonomi di Malaysia. Mereka tidak mengakui adanya kuasa politik di tangan Melayu. Oleh itu, mereka beranggapan konsep Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh En. Lee Kwan Yew selari dengan cita-cita mereka. Mereka juga tidak mengendahkan hakikat bahawa inilah sebabnya Singapura telah disingkirkan dari Malaysia.

Corak politik yang dimainkan oleh PAP pada ketika itu, tentu akan menimbulkan pertelingkahan kaum. Jadi saya mengambil keputusan memberi kemerdekaan kepada Singapura untuk kepentingan keamanan dan kebahagiaan di Malaysia.

Kedua-dua golongan belia Cina yang masih dalam lingkungan umur belasan tahun dan dua puluhan, tidak tertarik langsung pada MCA (parti politik yang mendapat sokongan kuat ahli perniagaan kaum Cina). Mereka merasa MCA telah lama berkuasa dan bersikap terlalu bertolak ansur serta terdapat jurang perbezaan umur antara pemimpin MCA dengan mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak bersetuju dengan MCA yang bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang bersatu.

Saya berani berkata, cuma sesuku sahaja orang Cina di Malaysia atau kurang daripada itu yang bersetuju dengan pandangan-pandangan mereka itu, ataupun menumpahkan taat setia mereka kepada negara China di bawah pemerintahan Mao Tze Tung. Tiga suku penduduk Cina di Malaysia inginkan kehidupan yang aman dan harmoni dengan kaum-kaum lain. Mereka ingin menjalankan perniagaan dan perdagangan serta perusahaan yang dijalankan sejak nenek moyang mereka dengan aman.

Walau sekuat manapun cinta mereka itu kepada keamanan, orang Cina yang berjumlah tiga suku itu tidak dapat menahan kemarahan golongan baru itu, apalagi ingin menentang mana-mana pertubuhan yang tersusun rapi dan terdiri daripada orang yang ingin menimbulkan kekacauan, iaitu komunis. Mereka telah menunjukkan bahawa mereka tidak terdaya hendak menentang anasir kongsi gelap yang menjadi kuman masyarakat yang sentiasa menindas orang Cina.


BAB 4 : KONGSI GELAP DAN ORANG CINA

Kongsi gelap bukanlah satu gerakan baru di negara ini. Anggota pertubuhan haram ini sebahagian besar daripadanya ialah orang Cina. Apabila masyarakat Cina mendapat kekayaan, bilangan kuman-kuman menjadi bertambah besar. Pengaruh mereka terdapat di segenap penjuru alam. Di mana-mana terdapat masyarakat Cina sekalipun di Chicago, San Francisco, London dan lain-lain.

Kaum Cina di Malaysia merupakan kaum terkaya antara kaum lain, di mana kekuatan kongsi gelap memeras ugut, menculik dan apa jua cara. Ini menjadikan mereka kaya. Mereka bukan saja menumpukan perhatian kepada peniaga-peniaga besar, tetapi golongan seperti penari-penari perempuan, rumah-rumah urut dan peniaga-penaga kecil dengan meminta wang perlindungan.

Sebelum ini, mereka tidak melibatkan diri dalam arena politik dan jika ada hanyalah sedikit sahaja. Pada tahun 1969, peranan mereka agak penting kerana mereka berada di mana-mana sahaja dan ditakuti oleh masyarakat.

Ahli-ahli politik Cina menggunakan khidmat kongsi gelap untuk mengawal keselamatan mereka, menguatkan pengaruh dan meninggikan kedudukan mereka dalam kalangan kaum tersebut. Oleh yang demikian, kumpulan kongsi gelap ini mudah untuk mencapai tujuan mereka. Malah, kumpulan kongsi gelap ini turut mendapat penghormatan yang ganjil. Mereka tidak menjadi masyarakat biasa tetapi seolah-olah seperti mafia di Amerika. Kedudukan mereka ini telah mengancam dan menimbulkan masalah kepada keharmonian hidup masyarakat di Malaysia.

Dalam kempen pilihan raya yang lepas, mereka telah mengambil peranan yang baru sebagai wakil calon dan pekerja pilihan raya untuk calon yang bertanding dalam pilhan raya. Mereka menjalankan pelbagai tipu helah jahat kerana hanya itu yang mereka tahu lakukan. Pengundi-pengundi telah diugut supaya mengundi calon yang tidak mereka sukai. Disebabkan gerakan-gerakan jahat mereka itu, maka perjalanan pilihan raya yang mengikut lunas-lunas demokrasi yang sentiasa diamalkan sebelumnya telah terganggu. Di mana kuman-kuman masyarakat ini ada mencampurinya, maka kempen-kempen telah dijalankan dengan pelbagai rupa tanpa mengikut lunas-lunas demokrasi.

Polis Diraja Malaysia sentiasa berusaha untuk menentang anggota kongsi gelap itu, terutama sekali dalam masa lima atau enam tahun kebelakangan ini. Maklumat-maklumat penting telah didapati oleh polis dalam penyiasatan yang dijalankan oleh mereka mengenai gerakan kongsi gelap itu. Tetapi mereka tidak menyangka, gerakan-gerakan ganas seperti itu akan dilakukan dalam masa pilihan raya.

Sikap anasir komunis dan tiga golongan orang Cina yang saya sebutkan, telah menyebabkan timbulnya perasaan anti-Malaysia dan perasaan inilah yang telah ditonjolkan dalam pilihan raya. Terdapat banyak punca, tetapi yang paling ketara ialah bahasa kebangsaan. Daripada beberapa surat yang telah saya terima, nyatalah bahawa banyak orang Cina dan India berasa tidak senang hati ketika bahasa kebangsaan mula digunakan. Oleh sebab bahasa Melayu telah menjadi asas kepada bahasa kebangsaan, maka Cina cauvinis telah melahirkan perasaan mereka dengan menghasut supaya diadakan sekolah dan hospital yang berasingan dan universiti untuk orang Cina sahaja.

Alasan yang dikemukakan ialah, daging babi tidak boleh dihidangkan di kantin bangunan yang ada berbilang kaum. Mungkin soal makanan ini boleh dijadikan satu masalah, tetapi ini merupakan satu perkara yang mudah untuk diatasi dengan mewujudkan kantin secara berasingan. Atau jika tidak dapat diadakan kemudahan masak-memasak yang berasingan, masih banyak makanan lain yang boleh dihidangkan kepada semua kaum tanpa perlu menyentuh perasaan mana-mana pihak dari segi agama atau lain-lainnya. Kenyataan ini terbukti benar jika diperhatikan aktiviti penjualan makanan oleh penjaja-penjaja di tepi jalan seperti di Jalan Campbell, Kuala Lumpur yang sangat digemari oleh semua kaum.

Persoalan-persoalan kecil seperti makanan merupakan alasan sahaja. Hakikat yang sebenarnya ialah golongan cauvinis itu menentang langkah yang menjadikan mereka sebagai masyarakat Malaysia. Mereka menentang tujuan ini dan mereka mahu kekal sebagai orang Cina. Terpulanglah kepada mereka untuk berpegang kepada sikap seperti itu, tetapi di dalam masyarakat berbilang kaum ini, marilah kita semua membulatkan taat setia kepada negara ini, biar apa pun jua asal usul keturunan kita. Apabila negara mengadakan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, maka saya rasa, menjadi kewajipan kepada semua orang memberi sumbangan masing-masing bagi menjayakannya sebagaimana yang telah dipersetujui dan dicatatkan di dalam Perlembagaan.

Inilah sebabnya MCA kehilangan pengaruhnya. Dasar Perikatan mesti diakui kerana ia selaras dengan Perlembagaan. Sokongan MCA terhadap dasar Perikatan adalah betul. Oleh yang demikian, ia patut mendapat sokongan daripada masyarakat Cina yang berfikiran waras dan taat setia kepada negara ini. Keengganan sebahagian orang Cina untuk menyahut seruan supaya terbentuknya satu bangsa Malaysia yang bersatu telah menyebabkan timbulnya perasaan anti-Melayu. Sikap ini disedari oleh orang Melayu, lantas perasaan marah terhadap orang Cina timbul kerana mereka tidak memberi kerjasama terhadap perkara yang telah dipersetujui. Oleh itu, timbul perasaan anti-Cina dalam kalangan orang Melayu dan mereka menuduh kerajaan bersikap lembut.

Sikap keterlaluan antara puak kanan dan puak kiri dalam sesuatu kaum telah melemahkan usaha-usaha untuk menubuhkan bangsa Malaysia yang bersatu. Dalam pilihan raya yang lepas, terdapat kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab telah meniupkan perasaan ini.

Saya telah membuat lawatan di ceruk dan rantau negeri selama dua bulan untuk memberi peringatan kepada semua penduduk daripada semua kaum tentang bahaya corak politik seperti ini. Selain itu, pergaduhan antara penduduk boleh memecah-belahkan masyarakat dan merosakkan negara yang telah kita bina ini. Kutub Utara dan Kutub Selatan mustahil boleh bertemu antara satu sama lain, tetapi manusia boleh bercampur-gaul di mana-mana sahaja di muka bumi ini.

Saya terperanjat apabila orang Cina yang telah menunjukkan sokongan yang kuat terhadap calon-calon UMNO pada masa lepas, dengan tidak semena-mena berpaling tadah manyokong calon-calon PAS. Semasa lawatan bersama-sama ahli MCA, saya dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri kejadian yang berlaku di kawasan saya, di mana orang Cina telah pergi ke pondok calon PAS. Ini amat memeranjatkan dan saya berfikir mungkin mereka tersalah pergi ke pondok PAS. 

Apabila saya menghentikan kenderaan untuk bertanya, pengundi-pengundi Cina itu meradang kerana menyifatkan perbuatan saya itu sebagai menganggu kebebasan mereka untuk mengundi sesuka hati. Saya berasa cemas apabila mendapati kejadian sedemikian berlaku di merata-rata tempat di utara Kedah.

Sukar untuk saya fahami kejadian yang berlaku kerana semasa kempen, calon-calon PAS secara terang-terangan menunjukkan sikap anti-Cina tetapi semasa mengundi, parti tersebut mendapat sokongan orang Cina.

Nyatalah bahawa ada perkara rahsia yang berlaku pada masa itu. Mungkin mereka menerima arahan daripada pihak tertentu ataupun mereka telah diugut untuk mengundi parti-parti yang membangkang Perikatan kerana takut. Apabila salah seorang daripada mereka disoal kenapa pergi ke pondok calon PAS, dia telah menjawab bahawa tidak ada sebab bagi orang Cina takut kepada PAS di Kedah atau di mana-mana tempat yang lain sekalipun parti itu mempunyai perasaan anti-Cina. Ini kerana orang Cina di Kelantan tidak teraniaya, sekalipun parti berkenaan berkuasa di negeri itu.

Satu lagi sebab yang telah diberi oleh mereka ialah beberapa hari sebelum hari mengundi, seorang daripada calon parti Perikatan telah menghina orang Cina dengan mengatakan, sekalipun orang Cina tidak menyokongnya, dia masih mempunyai harapan untuk menang. Calon yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Dr. Mahathir.

Saya mendapat tahu kejadian ini daripada Pengerusi MCA Kedah, Dato' Dr. Cheah Toon Lock. Saya telah berkata kepadanya bahawa menjadi kewajipan bagi setiap orang Cina berdiri di belakang parti Perikatan, kecuali jika dia menjadi salah seorang ahli dalam sebuah perti yang menentang Perikatan. Tidaklah patut mereka menghiraukan apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir.

Orang Cina tidak berhak untuk menjadi ahli dalam parti PAS, tetapi sebelum tahun 1966, mereka boleh menjadi ahli bersekutu dalam UMNO. Dengan itu, tidak ada sebab kenapa orang Cina patut mengundi calon-calon PAS, melainkan untuk menunjukkan sikap permusuhan mereka terhadap Perikatan, ataupun kerana mereka takut.

Antara parti-parti pembangkang, parti PAS adalah yang tertua sekali. Dalam pilihan raya yang pertama kali diadakan dalam sejarah Malaysia, iaitu semasa pemerintahan British dalam tahun 1955, parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dan sebuah kerusi telah dimenangi oleh PAS di Perak.

Allahyarham Dato' Onn dengan secara tidak langsung bertanggung-jawab melahirkan PAS semasa beliau menjadi Yang Dipertua UMNO. Ketika itu, badan tersebut dinamakan Jawatankuasa Ugama yang mempunyai tujuan untuk menasihatkan UMNO dalam segi hal-hal agama.

Apabila Dato' Onn meninggalkan UMNO, ahli-ahli Jawatankuasa Ugama itu kemudiannya telah menukar corak agama kepada politik supaya ia dapat bertanding dalam pilihan raya atas nama sendiri. Langkah ini telah menyebabkan pecahnya kekuatan orang Melayu. Dengan itu, muncullah PAS dalam gelanggang politik tanah air kita. Mereka melancarkan gerakan dengan menggunakan agama semata-mata kerana pada keseluruhannya, orang Melayu berpegang kuat kepada agama Islam. Pada permulaannya, parti itu tidak mendapat sambutan yang besar. Tetapi lama-kelamaan, mereka telah berjaya mendapat pengikut yang lebih ramai, terutamanya di negeri Kelantan, di mana Perikatan memegang kuasa semasa merdeka dahulu.

Dengan kejayaan mendapat penyokong yang besar bilangannya, maka mereka telah mengalahkan Perikatan di negeri itu dalam plihan raya tahun 1959 dan juga di Terengganu, malah telah menubuhkan kerajaan di kedua-dua buah negeri itu. Namun begitu, dalam tahun 1962, kerajaan mereka di Terengganu telah dijatuhkan oleh Perikatan setelah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Parti itu melompat masuk ke dalam parti Perikatan. Dengan itu, tinggallah PAS di Kelantan sahaja yang memegang kuasa Kerajaan Negeri, sementara Perikatan berkuasa di semua negeri lain.

PAS tidak pernah mempunyai sebarang tujuan atau rancangan yang tertentu. Mereka bergantung semata-mata kepada hal-hal agama Islam untuk mendapatkan sokongan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan untuk menggubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang patut dibuat oleh sesebuah parti politik. Pada suatu ketika, seorang ahli wanita PAS, Cik Khatijah Sidek yang menjadi ahli Parlimen, telah mengugut untuk keluar daripada PAS jika parti itu tidak dapat menyusun satu dasar ekonominya yang tersendiri dalam tempoh enam bulan. Desakan ini tidak menghasilkan sebarang natijah dan selepas dari itu, Cik Khatijah telah keluar daripada gelanggang politik. PAS terus berjalan dengan dasar keagamaannya yang sempit itu dengan tidak mengubah coraknya sehingga hari ini, bahkan menambahkannya lagi dengan soal perkauman yang sempit.

Mereka berkata, "Tunku telah menjual Singapura kepada orang Cina dan kemudiannya akan menjual Malaysia". Suatu hal yang sangat mengecewakan ialah, orang ramai percaya dengan kata-kata ini.



next - BAB 5 : TIPU HELAH DALAM KEMPEN



Okies, stop dulu ah.. baca banyak-banyak nanti boring.. jumpa lagi..


Wassalam.



p/s : Ada sesiapa yang tahu kisah sebenar bagaimana Singapura terlepas dari genggaman kesultanan Johor?  Adakah benar ulah kerabat yang tidak ditabal menjadi sultan punya angkara? Kalau tahu share ok, thanks in advance..