Wednesday, 23 January 2013

Memoirs of TAR (Bab 3 - Bab 4)


Assalamualaikum wbt. Bismillaahirrohmaanirrohiim.


Lamanya saya buat sidang pembaca tertunggu-tunggu post baru. Maaf sesangat. Sebab pertama, konon-konon sibuk sangat 'adapt' masa menguruskan persekolahan anak. Sekarang dah lapang, macam lipas kudung saya taip (nampak beno nipunya, sebab saya taip laju sikit daripada siput.. hehe). Tapi nak selit sikit pendapat dari pemerhatian saya. Apa yang saya nampak ialah senario politik di masa TAR ni macam sebijik apa yang sedang berlaku sekarang (propaganda dan agendanya). Cumanya sekarang, segala-galanya lebih advance dan merangkumi lebih banyak cabang. Kalau anda tak percaya, cuba baca sambil perhalusi... Tajuk bab 3 pulak macam kena dengan suasana panas bahang pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi.

Yang keduanya, saya nak mengaku sesuatu.. Sebenarnya saya dah lama tak update sebab buku yang saya nak share dengan anda ni, hilang tah ke mana. Actually saya suka bawa buku keluar masuk kereta untuk di baca, tah macamana buku ni boleh MIA (missing in action). Cari dalam kereta tak ada, cari satu rumah pun tak ada. Ikutkan kalau dah tak jumpa, saya niat nak beli yang baru. Takkan nak biar story TAR tergantung macam buah tak gugur pulak kan. Tapi entah macamana, last-last jumpa buku ni kat tempat yang dah 10 kali saya belek dan cari.  Benar-benar buku ni nak menduga saya. Dia nak suruh saya berehat lama sikit agaknya ya.. :P

Buku dah ada dalam tangan, dengan suka hatinya, baru la boleh sambung semula. So, tanpa membuang masa, saya teruskan sahaja ke bab seterusnya. Jom bacaaaaaa... 



BAB 3 : PILIHAN RAYA UMUM

Pada awal tahun 1969, saya sibuk dengan persiapan Persidangan Perdana Menteri Komanwel dalam bulan Januari. Selepas pulang dari persidangan, iaitu pada 20 Mac, kerajaan mengisytiharkan pilihan raya akan diadakan pada 10 Mei dan hari penamaan calon telah ditetapkan pada hari Sabtu, 5 April.

Parti-parti politik mula melipat-gandakan kempen walaupun sebelum ini telah dijalankan secara rahsia. Melihat pada perkembangan pada masa itu, pilihan raya tersebut sungguh hebat berbanding sebelumnya. Gerakan-gerakan parti politik bertambah hebat dijalankan dan apabila hari penamaan calon hampir tiba, timbul pelbagai tekaan terhadap pilihan calon. Selain itu, parti-parti lawan sekali lagi telah bergabung untuk menentang Parti Perikatan. Namun usaha mereka gagal. Tetapi persetujuan telah dicapai antara beberapa parti untuk tidak bertanding antara satu sama lain.

Jelaslah di sini bahawa ugutan parti Buruh untuk memulau pilhan raya kali ini benar-benar berlaku dengan sokongan pihak komunis di belakangnya. Pada hari penamaan calon, polis telah menjumpai 55 bendera komunis di Perak dan berlaku tunjuk perasaan secara mengejut di Kuala Lumpur. Pada keesokan harinya, iaitu 6 April, sebuah skuter terbakar dijumpai di Ampang dan 9 hari kemudian, iaitu 15 April, di Cheras pula sebuah kereta peronda polis telah dibaling dengan batu. Kedua-dua kejadian ini berlaku di pinggir bandar Kuala Lumpur.

Pada hari penamaan calon, semua parti seolah-olah bersetuju bagi menandakan bermulanya pergolakan antara mereka. Kempen-kempen sebelum ini diperhebatkan lagi.

Hanya sebuah parti sahaja yang bertanding untuk semua kerusi iaitu Parti Perikatan yang memerintah. Parti ini terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).

5 buah parti telah menentang Perikatan. Parti-parti itu ialah parti-parti yang telah bertanding dalam pilihan raya Parlimen :

1. Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Parti Islam yang memerintah di Kelantan, mempunyai 9 orang wakil dalam Parlimen.
2. Parti Gerakan, sebuah parti baru yang dipimpin oleh Syed Hussain Al-Attas sebagai presiden.
3. Parti Tindakan Demokrat (DAP), sebuah cawangan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.
4. Parti Progresif Rakyat (PPP).
5. Sebuah parti baru di Seremban yang dikenali dengan nama Pertubuhan Cina Malaysia Bersatu (UMCO), dengan En. Chin See Yin sebagai presiden. 

Selain itu, parti Rakyat merupakan sebuah pertubuhan berhaluan kiri yang dipengerusikan oleh En. Kassim Ahmad dan Syed Hussein Ali sebagai setiausaha agung, telah meletakkan calonnya dalam pilihan raya Majlis Undangan 11 buah negeri. Beberapa orang calon bebas telah bertanding di peringkat parlimen dan negeri. Semua pilihan raya di Malaysia Barat telah ditetapkan pada 10 Mei dan di Malaysia Timur pula beberapa hari telah ditetapkan sehingga hujung bulan Jun.

Kempen diadakan selama 7 minggu untuk rakyat menentukan pilihan mereka pada hari membuang undi iaitu pada 10 Mei. Pilihan raya yang lepas berjalan dengan harmoni berbanding pilihan raya 1969, di mana berlaku kecaman, perbuatan tidak sopan dan perkataan yang mengguris perasaan.

Sejak permulaan kempen, PAS telah menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu di semua negeri selain Kelantan, kerana mereka telah berkuasa di negeri tersebut. Bagi parti DAP, Gerakan dan PPP pula, mereka mengapi-apikan perasaan dan sentimen orang-orang Cina dengan mengatakan mereka akan merampas hak orang Melayu sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan dan menekankan bahawa mereka akan mengamalkan dasar berbilang bahasa di Malaysia jika mereka menang di dalam pilihan raya itu. Keempat-empat parti ini telah mengeluarkan isu-isu sensitif dan menyentuh perasaan kedua-dua kaum terbesar di Malaysia.

Sejak pilihan raya 1964, parti pembangkang telah melancarkan dakyah dan cara halus untuk mendapatkan beberapa buah kerusi dalam pilihan raya akan datang. Namun, cara mereka berkempen telah terkeluar daripada batas kesopanan. Perbuatan ini telah menyebabkan pergeseran antara dua kaum tidak dapat dielakkan. Lantas, komunis mengambil kesempatan dalam suasana yang keruh ini.

Ancaman komunis telah bergerak secara berselindung dalam mana-mana parti dan dilakukan dengan apa jua cara untuk mencapai tujuan mereka. Keadaan ini sangat berbahaya kerana menggunakan dakyah-dakyah yang baru bagi mendapatkan sokongan orang-orang Cina, terutama sekali yang enggan menyifatkan Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka menanamkan perasaan perkauman dalam hati dan fikiran orang Cina untuk ditarik masuk ke dalam gerakan komunis.

Pada masa dahulu, ideologi dan cara mereka tidak memberi kesan kerana masyarakat telah mendapat kebahagiaan hidup dan memiliki apa yang perlu untuk kehidupan. Mereka sendiri telah melihat dan menanggung keperitan dan kepahitan hidup dalam tempoh 12 tahun komunis mengganas di negara ini dan mereka tidak akan melupakan pengalaman pahit itu seumur hidup mereka. Oleh itu, taktik terbaru mereka tidak akan memberi kesan ke atas golongan yang telah mengalami kehidupan semasa Darurat.

Kehidupan rakyat berjalan seperti biasa, orang muda menjadi tua dan kanak-kanak menjadi dewasa. Golongan terbesar ialah belia dalam lingkungan belasa tahun dan dua puluhan. Kanak-kanak yang masih kecil ketika Darurat mestilah tidak dapat mengingati kesusahan dan ketakutan kepada ancaman keselamatan serta nyawa mereka yang sentiasa terancam.

Parti komunis menghalakan taktik barunya kepada pemuda-pemudi ini kerana pada masa Darurat dahulu mereka belum cukup umur dan memahami akan perbuatan komunis itu. Sekarang mereka telah dewasa dan boleh mengundi dalam pilihan raya. Komunis telah mempengaruhi dan menyesatkan fikiran belia yang belum boleh mengundi dengan harapan gerakan yang dijalankan oleh belia itu nanti akan menimbulkan kesan yang boleh menanamkan rasa gelisah dan hilang kepercayaan dalam kalangan ibu bapa.

Belia yang mendapat kepercayaan dan perhatian daripada komunis ialah mereka yang mempunyai rasa kecinaan yang menebal dalam diri. Kebanyakan mereka menumpahkan taat setia mereka terhadap negara China. Golongan belia ini terdapat dalam parti pembangkang terutama sekali Parti Buruh yang terang-terangan menggunakan mereka.

Belia ini tidak boleh dikawal dan dihalang daripada menyertai parti komunis. Mereka menyertai komunis dengan fikiran dan fahaman, walaupun tidak dengan tubuh badan mereka sebagai anggota parti. Ibu bapa tidak dapat menghalang mereka dan ini menyebabkan hubungan mereka dengan keluarga menjadi renggang dan fikiran mereka hanyut. Mereka menjadi sesat dan tidak dapat mendengar dan melihat secara bijak apa yang ada di sekeliling mereka kecuali pujukan komunis.

Segolongan lagi belia Cina ialah golongan yang bercita-cita tinggi serta berlagak pandai dan bijak bercakap, menggelarkan diri mereka golongan terpelajar dan lulusan universiti, malah sekarang boleh mengundi. Pemuda-pemudi ini enggan mengakui perimbangan kuasa antara golongan politik dan enokomi, iaitu hakikat bahawa ia telah dipersetujui oleh semua pihak dan ditentukan secara adil di dalam Perlembagaan.

Golongan belia ini tepat seperti yang dimaksudkan oleh Robert Louis Stevenson dalam tulisannya yang berbunyi "MUNGKIN POLITIK ADALAH SATU-SATUNYA PEKERJAAN YANG DIANGGAP TIDAK MEMERLUKAN SEBARANG PERSIAPAN ATAU PELAJARAN".

Mereka bercita-cita hendak mengambil bahagian dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan politik, dengan harapan akhirnya mereka akan menjadi pemimpin utama bagi orang Cina dalam dua sektor iaitu, politik dan ekonomi di Malaysia. Mereka tidak mengakui adanya kuasa politik di tangan Melayu. Oleh itu, mereka beranggapan konsep Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh En. Lee Kwan Yew selari dengan cita-cita mereka. Mereka juga tidak mengendahkan hakikat bahawa inilah sebabnya Singapura telah disingkirkan dari Malaysia.

Corak politik yang dimainkan oleh PAP pada ketika itu, tentu akan menimbulkan pertelingkahan kaum. Jadi saya mengambil keputusan memberi kemerdekaan kepada Singapura untuk kepentingan keamanan dan kebahagiaan di Malaysia.

Kedua-dua golongan belia Cina yang masih dalam lingkungan umur belasan tahun dan dua puluhan, tidak tertarik langsung pada MCA (parti politik yang mendapat sokongan kuat ahli perniagaan kaum Cina). Mereka merasa MCA telah lama berkuasa dan bersikap terlalu bertolak ansur serta terdapat jurang perbezaan umur antara pemimpin MCA dengan mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak bersetuju dengan MCA yang bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang bersatu.

Saya berani berkata, cuma sesuku sahaja orang Cina di Malaysia atau kurang daripada itu yang bersetuju dengan pandangan-pandangan mereka itu, ataupun menumpahkan taat setia mereka kepada negara China di bawah pemerintahan Mao Tze Tung. Tiga suku penduduk Cina di Malaysia inginkan kehidupan yang aman dan harmoni dengan kaum-kaum lain. Mereka ingin menjalankan perniagaan dan perdagangan serta perusahaan yang dijalankan sejak nenek moyang mereka dengan aman.

Walau sekuat manapun cinta mereka itu kepada keamanan, orang Cina yang berjumlah tiga suku itu tidak dapat menahan kemarahan golongan baru itu, apalagi ingin menentang mana-mana pertubuhan yang tersusun rapi dan terdiri daripada orang yang ingin menimbulkan kekacauan, iaitu komunis. Mereka telah menunjukkan bahawa mereka tidak terdaya hendak menentang anasir kongsi gelap yang menjadi kuman masyarakat yang sentiasa menindas orang Cina.


BAB 4 : KONGSI GELAP DAN ORANG CINA

Kongsi gelap bukanlah satu gerakan baru di negara ini. Anggota pertubuhan haram ini sebahagian besar daripadanya ialah orang Cina. Apabila masyarakat Cina mendapat kekayaan, bilangan kuman-kuman menjadi bertambah besar. Pengaruh mereka terdapat di segenap penjuru alam. Di mana-mana terdapat masyarakat Cina sekalipun di Chicago, San Francisco, London dan lain-lain.

Kaum Cina di Malaysia merupakan kaum terkaya antara kaum lain, di mana kekuatan kongsi gelap memeras ugut, menculik dan apa jua cara. Ini menjadikan mereka kaya. Mereka bukan saja menumpukan perhatian kepada peniaga-peniaga besar, tetapi golongan seperti penari-penari perempuan, rumah-rumah urut dan peniaga-penaga kecil dengan meminta wang perlindungan.

Sebelum ini, mereka tidak melibatkan diri dalam arena politik dan jika ada hanyalah sedikit sahaja. Pada tahun 1969, peranan mereka agak penting kerana mereka berada di mana-mana sahaja dan ditakuti oleh masyarakat.

Ahli-ahli politik Cina menggunakan khidmat kongsi gelap untuk mengawal keselamatan mereka, menguatkan pengaruh dan meninggikan kedudukan mereka dalam kalangan kaum tersebut. Oleh yang demikian, kumpulan kongsi gelap ini mudah untuk mencapai tujuan mereka. Malah, kumpulan kongsi gelap ini turut mendapat penghormatan yang ganjil. Mereka tidak menjadi masyarakat biasa tetapi seolah-olah seperti mafia di Amerika. Kedudukan mereka ini telah mengancam dan menimbulkan masalah kepada keharmonian hidup masyarakat di Malaysia.

Dalam kempen pilihan raya yang lepas, mereka telah mengambil peranan yang baru sebagai wakil calon dan pekerja pilihan raya untuk calon yang bertanding dalam pilhan raya. Mereka menjalankan pelbagai tipu helah jahat kerana hanya itu yang mereka tahu lakukan. Pengundi-pengundi telah diugut supaya mengundi calon yang tidak mereka sukai. Disebabkan gerakan-gerakan jahat mereka itu, maka perjalanan pilihan raya yang mengikut lunas-lunas demokrasi yang sentiasa diamalkan sebelumnya telah terganggu. Di mana kuman-kuman masyarakat ini ada mencampurinya, maka kempen-kempen telah dijalankan dengan pelbagai rupa tanpa mengikut lunas-lunas demokrasi.

Polis Diraja Malaysia sentiasa berusaha untuk menentang anggota kongsi gelap itu, terutama sekali dalam masa lima atau enam tahun kebelakangan ini. Maklumat-maklumat penting telah didapati oleh polis dalam penyiasatan yang dijalankan oleh mereka mengenai gerakan kongsi gelap itu. Tetapi mereka tidak menyangka, gerakan-gerakan ganas seperti itu akan dilakukan dalam masa pilihan raya.

Sikap anasir komunis dan tiga golongan orang Cina yang saya sebutkan, telah menyebabkan timbulnya perasaan anti-Malaysia dan perasaan inilah yang telah ditonjolkan dalam pilihan raya. Terdapat banyak punca, tetapi yang paling ketara ialah bahasa kebangsaan. Daripada beberapa surat yang telah saya terima, nyatalah bahawa banyak orang Cina dan India berasa tidak senang hati ketika bahasa kebangsaan mula digunakan. Oleh sebab bahasa Melayu telah menjadi asas kepada bahasa kebangsaan, maka Cina cauvinis telah melahirkan perasaan mereka dengan menghasut supaya diadakan sekolah dan hospital yang berasingan dan universiti untuk orang Cina sahaja.

Alasan yang dikemukakan ialah, daging babi tidak boleh dihidangkan di kantin bangunan yang ada berbilang kaum. Mungkin soal makanan ini boleh dijadikan satu masalah, tetapi ini merupakan satu perkara yang mudah untuk diatasi dengan mewujudkan kantin secara berasingan. Atau jika tidak dapat diadakan kemudahan masak-memasak yang berasingan, masih banyak makanan lain yang boleh dihidangkan kepada semua kaum tanpa perlu menyentuh perasaan mana-mana pihak dari segi agama atau lain-lainnya. Kenyataan ini terbukti benar jika diperhatikan aktiviti penjualan makanan oleh penjaja-penjaja di tepi jalan seperti di Jalan Campbell, Kuala Lumpur yang sangat digemari oleh semua kaum.

Persoalan-persoalan kecil seperti makanan merupakan alasan sahaja. Hakikat yang sebenarnya ialah golongan cauvinis itu menentang langkah yang menjadikan mereka sebagai masyarakat Malaysia. Mereka menentang tujuan ini dan mereka mahu kekal sebagai orang Cina. Terpulanglah kepada mereka untuk berpegang kepada sikap seperti itu, tetapi di dalam masyarakat berbilang kaum ini, marilah kita semua membulatkan taat setia kepada negara ini, biar apa pun jua asal usul keturunan kita. Apabila negara mengadakan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, maka saya rasa, menjadi kewajipan kepada semua orang memberi sumbangan masing-masing bagi menjayakannya sebagaimana yang telah dipersetujui dan dicatatkan di dalam Perlembagaan.

Inilah sebabnya MCA kehilangan pengaruhnya. Dasar Perikatan mesti diakui kerana ia selaras dengan Perlembagaan. Sokongan MCA terhadap dasar Perikatan adalah betul. Oleh yang demikian, ia patut mendapat sokongan daripada masyarakat Cina yang berfikiran waras dan taat setia kepada negara ini. Keengganan sebahagian orang Cina untuk menyahut seruan supaya terbentuknya satu bangsa Malaysia yang bersatu telah menyebabkan timbulnya perasaan anti-Melayu. Sikap ini disedari oleh orang Melayu, lantas perasaan marah terhadap orang Cina timbul kerana mereka tidak memberi kerjasama terhadap perkara yang telah dipersetujui. Oleh itu, timbul perasaan anti-Cina dalam kalangan orang Melayu dan mereka menuduh kerajaan bersikap lembut.

Sikap keterlaluan antara puak kanan dan puak kiri dalam sesuatu kaum telah melemahkan usaha-usaha untuk menubuhkan bangsa Malaysia yang bersatu. Dalam pilihan raya yang lepas, terdapat kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab telah meniupkan perasaan ini.

Saya telah membuat lawatan di ceruk dan rantau negeri selama dua bulan untuk memberi peringatan kepada semua penduduk daripada semua kaum tentang bahaya corak politik seperti ini. Selain itu, pergaduhan antara penduduk boleh memecah-belahkan masyarakat dan merosakkan negara yang telah kita bina ini. Kutub Utara dan Kutub Selatan mustahil boleh bertemu antara satu sama lain, tetapi manusia boleh bercampur-gaul di mana-mana sahaja di muka bumi ini.

Saya terperanjat apabila orang Cina yang telah menunjukkan sokongan yang kuat terhadap calon-calon UMNO pada masa lepas, dengan tidak semena-mena berpaling tadah manyokong calon-calon PAS. Semasa lawatan bersama-sama ahli MCA, saya dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri kejadian yang berlaku di kawasan saya, di mana orang Cina telah pergi ke pondok calon PAS. Ini amat memeranjatkan dan saya berfikir mungkin mereka tersalah pergi ke pondok PAS. 

Apabila saya menghentikan kenderaan untuk bertanya, pengundi-pengundi Cina itu meradang kerana menyifatkan perbuatan saya itu sebagai menganggu kebebasan mereka untuk mengundi sesuka hati. Saya berasa cemas apabila mendapati kejadian sedemikian berlaku di merata-rata tempat di utara Kedah.

Sukar untuk saya fahami kejadian yang berlaku kerana semasa kempen, calon-calon PAS secara terang-terangan menunjukkan sikap anti-Cina tetapi semasa mengundi, parti tersebut mendapat sokongan orang Cina.

Nyatalah bahawa ada perkara rahsia yang berlaku pada masa itu. Mungkin mereka menerima arahan daripada pihak tertentu ataupun mereka telah diugut untuk mengundi parti-parti yang membangkang Perikatan kerana takut. Apabila salah seorang daripada mereka disoal kenapa pergi ke pondok calon PAS, dia telah menjawab bahawa tidak ada sebab bagi orang Cina takut kepada PAS di Kedah atau di mana-mana tempat yang lain sekalipun parti itu mempunyai perasaan anti-Cina. Ini kerana orang Cina di Kelantan tidak teraniaya, sekalipun parti berkenaan berkuasa di negeri itu.

Satu lagi sebab yang telah diberi oleh mereka ialah beberapa hari sebelum hari mengundi, seorang daripada calon parti Perikatan telah menghina orang Cina dengan mengatakan, sekalipun orang Cina tidak menyokongnya, dia masih mempunyai harapan untuk menang. Calon yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Dr. Mahathir.

Saya mendapat tahu kejadian ini daripada Pengerusi MCA Kedah, Dato' Dr. Cheah Toon Lock. Saya telah berkata kepadanya bahawa menjadi kewajipan bagi setiap orang Cina berdiri di belakang parti Perikatan, kecuali jika dia menjadi salah seorang ahli dalam sebuah perti yang menentang Perikatan. Tidaklah patut mereka menghiraukan apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir.

Orang Cina tidak berhak untuk menjadi ahli dalam parti PAS, tetapi sebelum tahun 1966, mereka boleh menjadi ahli bersekutu dalam UMNO. Dengan itu, tidak ada sebab kenapa orang Cina patut mengundi calon-calon PAS, melainkan untuk menunjukkan sikap permusuhan mereka terhadap Perikatan, ataupun kerana mereka takut.

Antara parti-parti pembangkang, parti PAS adalah yang tertua sekali. Dalam pilihan raya yang pertama kali diadakan dalam sejarah Malaysia, iaitu semasa pemerintahan British dalam tahun 1955, parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dan sebuah kerusi telah dimenangi oleh PAS di Perak.

Allahyarham Dato' Onn dengan secara tidak langsung bertanggung-jawab melahirkan PAS semasa beliau menjadi Yang Dipertua UMNO. Ketika itu, badan tersebut dinamakan Jawatankuasa Ugama yang mempunyai tujuan untuk menasihatkan UMNO dalam segi hal-hal agama.

Apabila Dato' Onn meninggalkan UMNO, ahli-ahli Jawatankuasa Ugama itu kemudiannya telah menukar corak agama kepada politik supaya ia dapat bertanding dalam pilihan raya atas nama sendiri. Langkah ini telah menyebabkan pecahnya kekuatan orang Melayu. Dengan itu, muncullah PAS dalam gelanggang politik tanah air kita. Mereka melancarkan gerakan dengan menggunakan agama semata-mata kerana pada keseluruhannya, orang Melayu berpegang kuat kepada agama Islam. Pada permulaannya, parti itu tidak mendapat sambutan yang besar. Tetapi lama-kelamaan, mereka telah berjaya mendapat pengikut yang lebih ramai, terutamanya di negeri Kelantan, di mana Perikatan memegang kuasa semasa merdeka dahulu.

Dengan kejayaan mendapat penyokong yang besar bilangannya, maka mereka telah mengalahkan Perikatan di negeri itu dalam plihan raya tahun 1959 dan juga di Terengganu, malah telah menubuhkan kerajaan di kedua-dua buah negeri itu. Namun begitu, dalam tahun 1962, kerajaan mereka di Terengganu telah dijatuhkan oleh Perikatan setelah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Parti itu melompat masuk ke dalam parti Perikatan. Dengan itu, tinggallah PAS di Kelantan sahaja yang memegang kuasa Kerajaan Negeri, sementara Perikatan berkuasa di semua negeri lain.

PAS tidak pernah mempunyai sebarang tujuan atau rancangan yang tertentu. Mereka bergantung semata-mata kepada hal-hal agama Islam untuk mendapatkan sokongan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan untuk menggubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang patut dibuat oleh sesebuah parti politik. Pada suatu ketika, seorang ahli wanita PAS, Cik Khatijah Sidek yang menjadi ahli Parlimen, telah mengugut untuk keluar daripada PAS jika parti itu tidak dapat menyusun satu dasar ekonominya yang tersendiri dalam tempoh enam bulan. Desakan ini tidak menghasilkan sebarang natijah dan selepas dari itu, Cik Khatijah telah keluar daripada gelanggang politik. PAS terus berjalan dengan dasar keagamaannya yang sempit itu dengan tidak mengubah coraknya sehingga hari ini, bahkan menambahkannya lagi dengan soal perkauman yang sempit.

Mereka berkata, "Tunku telah menjual Singapura kepada orang Cina dan kemudiannya akan menjual Malaysia". Suatu hal yang sangat mengecewakan ialah, orang ramai percaya dengan kata-kata ini.



next - BAB 5 : TIPU HELAH DALAM KEMPEN



Okies, stop dulu ah.. baca banyak-banyak nanti boring.. jumpa lagi..


Wassalam.



p/s : Ada sesiapa yang tahu kisah sebenar bagaimana Singapura terlepas dari genggaman kesultanan Johor?  Adakah benar ulah kerabat yang tidak ditabal menjadi sultan punya angkara? Kalau tahu share ok, thanks in advance..



10 comments:

Anonymous said...

salam ke atas pemilik blog..

adoii..lamanya nk tunggu postnyee..huhu

@biskut merry

budin said...

ISM mungkin boleh tanyer mamat yg buat blog nie

http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.com/

jimio said...

lama x dapat jenguk sini...

SAYANGKU RAIHANA said...

hai ibu,..=)
bukak2 tak update tetapi akhirnya update juga..

bila saya baca memang betul ada persamaan dari segi ketegangan politik.

sememangnya tegang sungguh keadaan politik negara kita nih seolah-olah hanya menunggu masa nak meletop

just wait n see..=)

naza said...

mama, bab singapura terlepas tu, saya ada terbaca, kat mana pun dah lupa... kononnya kata TAR... ia ibarat kudis duhujung jari.... simpan pun tak guna... baik buang saja... gitu la lebeh kurang tapi.....
susahnya nak bayangkan siput menaip mama... sunggoh :)

naza said...

dan.. pengkomen ketiga tu mama... macamana orang awam oleh bawa M4 kehulu kehilr macan kat kuwait je :)

Dzulfikr said...

Assalammualaikum...

apa khabar I.S.M! lama gak tunggu nie hehehe...:-)

dkt2 pilihanraya nie ok gak baja sejarah pasal pilihanraya ni...

saya pun dlu ada gak dgr cte yg sblm nie pas ngan umno adalah satu tapi kemudian berpecah.. tak tau la lagi detail cuma dgr2 cam tu.. yang cerita pun orang lama borak la dengan dia dia cerita tapi maklum la orang lama ingat cam2 tu je.. umur dia sekarang pun dah 90 lbh... ni la agaknya kisah yang dia cerita tu..

Ibu Separuh Masak said...


Assalamualaikum semua, sombongnya saya sebab dah lama tak reply komen anda. Jangan marah, nanti dah tak comel.


@biskut merry : lama sangat ke... hihi, sori..


@budin : saya dah pegi ke blog tu, banyak cerita menarik. lama juga saya terlekat kat situ.


@jimio : hai, how are you? long time no see..


@SAYANGKU RAIHANA : yes, together we wait and see.. sekarang lagi teruk sampai tak tahu mana nak percaya.


@naza : kalau ada kesempatan, saya nak cari buku 13 Mei dari sudut pandang penulis yang lain. kalau ada info yang menarik, saya selitkan kat sini. masa belek satu buku di harris, saya pun macam ada terbaca lebih kurang macam yang naza baca tapi tak sampai beli. writer dia omputih.

Tentang pengkomen ketiga tu, bukan awak sorang yang jeles, saya pun jeles juga..


@Dzulfikr : wa'alaikumsalam dan khabar baik. inilah untungnya berkawan dengan orang lama, banyak kisah dan petua boleh dicedok daripada mereka, kan?


Wassalam.


Anonymous said...

racun minda..mgarut..

IBU SUNARTI DI KALIMANTAN said...

Ass...saya tidak menyanka kalau saya sudah bisa sesukses ini dan ini semua berkat bantuan MBAH RAWA GUMPALA,saya yang dulunya bukan siapa-siapa bahkan saya juga selalu dihina orang dan alhamdulillah kini sekaran saya sudah punya segalanya,itu semua atas bantuan beliau.Saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH RAWA GUMPALA atas bantuan nomor dan dana ghaibnya,alhamdulillah kini saya sudah bisa membuka usaha kembali yang dulunya pakum karna masalah faktor ekonomi dan kini kami sekeluarga sudah sangat serba berkecukupan dan tidak pernah lagi hutang sana sini,,bagi anda yang punya masalah keuangan jangan sungkan-sungkan untuk menhubungi MBAH RAWA GUMPALA karna insya allah beliau akan membantu semua masalah anda dan baru kali ini juga saya mendaptkan para normal yang sangat hebat dan benar-benar terbukti nyata,ini bukan hanya sekedar cerita tapi inilah kisah nyata yang benar-benar nyata dari saya dan bagi anda yg ingin seperti saya silahkan hubungi saja MBAH RAWA GUMPALA di 085==316==106==111




(((( BUKA BLO DANA GHAIB DAN NOMOR GHAIB MBAH RAWA GUMPALA ))))







Ass...saya tidak menyanka kalau saya sudah bisa sesukses ini dan ini semua berkat bantuan MBAH RAWA GUMPALA,saya yang dulunya bukan siapa-siapa bahkan saya juga selalu dihina orang dan alhamdulillah kini sekaran saya sudah punya segalanya,itu semua atas bantuan beliau.Saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH RAWA GUMPALA atas bantuan nomor dan dana ghaibnya,alhamdulillah kini saya sudah bisa membuka usaha kembali yang dulunya pakum karna masalah faktor ekonomi dan kini kami sekeluarga sudah sangat serba berkecukupan dan tidak pernah lagi hutang sana sini,,bagi anda yang punya masalah keuangan jangan sungkan-sungkan untuk menhubungi MBAH RAWA GUMPALA karna insya allah beliau akan membantu semua masalah anda dan baru kali ini juga saya mendaptkan para normal yang sangat hebat dan benar-benar terbukti nyata,ini bukan hanya sekedar cerita tapi inilah kisah nyata yang benar-benar nyata dari saya dan bagi anda yg ingin seperti saya silahkan hubungi saja MBAH RAWA GUMPALA di 085==316==106==111